Login | Sign Up | About Us | Contact | Help | Sitemap
 
9/6/2010
 
Search
   
Language
 
 
  Home  
     
     
  Writers Column
 
     
Newsletter Subscribe
 
 
  Multimedia Collections  
     
  Photos
  Audio
  Video
 
 
 
Latest Current Issues  
 
Islam Agama Yang Memudahkan
Posted on10/22/2007 1:23:38 PM
By Ust Emran Ahmad

Islam Agama Yang Memudahkan
Oleh: Ustaz Emran Ahmad

Ba (hons) pengajian Islam, Ma (Aqidah) Yaman.

Sana Yaman.



Sesungguhnya Islam merupakan agama yang mudah dan menyenangkan manusia bukan menyusahkan atau menyempitkan. Deen Islam ini diturunkan Allah swt kepada manusia sebagai rahmat dan hidayah yang membawa manusia kepada kebaikan dan kebahagiaan seperti firman Allah swt :


وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“ Dan tidaklah kami utuskan Engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam” (Al-Anbiya : 107).
Rahmat Islam itu didatangkan oleh Allah swt sebagai penyelamat manusia dari kesesatan dan pembimbing dalam kehidupan untuk seluruh alam dan manusia tanpa dikecualikan sesiapa pun.

 

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَكِنَّ

أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Dan tiadalah Kami mengutusmu melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Saba : 28).

Setiap manusia itu tertakluk kepada hukum Allah swt dan merupakan hamba yang wajib melaksanakan tangungjawabnya sebagai hamba kepada zat yang Maha Kuasa dengan beribadah kepada-Nya menurut perintah dan pertunjuk dari-Nya.


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“ Dan tidaklah kami menciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepada kami” (Adz-Zariyat : 56).
Perintah untuk beribadah itu tertakluk kepada seluruh manusia dan kepada semua golongan serta keadaan. Setiap manusia itu wajib melaksanakan tuntutan sebagai hamba kepada Allah swt semampunya dan menurut pertunjuk yang sahih iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah.
Islam tidak membebankan manusia sebaliknya bahkan memudahkan dan menyenangkan manusia disamping tidak sampai membiarkan manusia itu mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba kepada tuhannya. Setiap taklifan atau tuntutan dari Islam itu ditentukan menurut kadar kemampuan yang sesuai dengan manusia itu sendiri.
لاَ يُكَلِّفُ اللّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا
“ Tidaklah Allah meletakkan tanggungjawab pada seseorang melainkan dengan sekadar dengan kemampuannya” (Al-Baqarah : 286).
Demikianlah prinsip Islam yang merupakan rahmat serta memudahkan kepada manusia di samping tetap menjaga hak manusia sebagai hamba maka Islam juga tidak sampai mengabaikan hak Allah swt sebagai penguasa dan tuhan rabbul alamin.
Sebagaimana yang diriwayatkan dari Muaz bin Jabal ra, bahawa baginda salalallahualaihiwasalam pernah bersabda :

فأن حق الله على العباد أن يعبدوه ولا يشركوا به شيئا وحق العباد على الله أن لا يعذب من لا يشرك به شيئا
“ Hak Allah ke atas hamba-Nya ialah kewajipan bagi setiap hamba untuk menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya ,dan hak hamba kepada Allah ialah untuk tidak diazab hamba-Nya yang tidak mensyirikkan-Nya.” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.77).

Sesungguhnya Allah swt sangat mengasihi hamba-Nya dan Dialah yang telah menciptakan manusia pada awal-awalnya dan sudah pasti setiap perihal dan kelemahan manusia itu sudah diketahui-Nya sejak awal-awal. Maka bukan sesuatu yang pelik apabila sebagai Pencipta Allah swt telah menetapkan bahawa Islam ini sebagai deen yang sempurna kepada manusia untuk semua keadaan sesuai dengan fitrah dan kehidupan mereka.
              
     عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ
Fitrah Allah yang menciptakan manusia untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu;”
(Surah Ar-Rum :30).


                                                                    
أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ  الْيَوْمَ

الإِسْلاَمَ دِينًا وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagimu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agamamu"

(Surah Al-Maidah : 3).

 

اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
“ Allah mengehendaki kesenangan kepada kamu dan tidak mengingini kesusahan menimpa kamu” (Al-Baqarah : 185).
Dijelaskan dalam firman Allah di atas bahawa syariat Islam itu sebenarnya sudah mudah dan sesuai kepada manusia dalam apa jua keadaan cumanya manusia itu sendiri masih jahil dan bersikap engkar. Syariat Islam itu diturunkan oleh Allah swt dan ditetapkan kepada manusia sebagai memudahkan manusia itu sendiri dan pertunjuk jalan yang selamat.


                     
عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ مِّلَّةَ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ
“ Dan tidaklah kami menjadikan deen ini kepada kamu sebagai sesuatu yang menyusahkan” (Al-hajj : 78).

Bukanlah syariat itu sebagai beban sebaliknya ianya diturunkan sebagai panduan dan bimbingan dari Allah swt ke jalan yang selamat yang ditetapkan oleh-Nya sebagai syarat mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

الْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا

لِنَهْتَدِيَ لَوْلا أَنْ هَدَانَا اللّهُ لَقَدْ جَاءتْ رُسُلُ رَبِّنَا

بِالْحَقِّ وَنُودُواْ أَن تِلْكُمُ الْجَنَّةُ أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنتُمْ

تَعْمَلُونَ

Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami; sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan Kami dengan membawa kebenaran. Dan mereka diseru: Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan..” (Surah Al’Araf : 43).

Hendaklah setiap manusia yang beriman kepada Allah swt menyerah dirinya kepada Islam dan syariatnya dalam apa jua keadaan baik dalam lemah atau ketika kuat dan gagah. Baik ketika sihat atau sedang sakit hendaklah selalu mengingati Allah dan menyerah diri kepada syariat Islam dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan dengan hati yang tunduk dan menyerah ikhlas.


وَمَن يُسْلِمْ وَجْهَهُ إِلَى اللَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ

بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى وَإِلَى اللَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Dan sesiapa yang berserah diri kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh; dan kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Luqman : 22).


Ibadah Dalam Islam
Perintah supaya beribadah kepada Allah swt itu haruslah didasari dengan ilmu dan kefahaman yang sahih yang disampaikan oleh Allah swt kepada hamba-Nya melalui perantaraan rasul-Nya Muhammad salallahualaihiwasalam sebagai penerang dan penjelas kepada segala perintah dan larangan Allah swt.


مَّا أَفَاء اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ

وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ

السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاء مِنكُمْ وَمَا آتَاكُمُ

الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ

اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
" Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya dari harta penduduk negeri dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan Rasulullah, dan bagi kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin serta orang musafir. Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang kaya dari kalangan kamu. Apa jua yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah ia, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya. " (Al-Hasyr: 7).


Sabda baginda salallahualaihiwasalam :

تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب الله وسنة رسوله
“ Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu akan sesat iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulnya.”
(Hadith Hasan, riwayat Malik dalam Muwatho no 898, Hakim dalam Mustadrak no.63).
Berkata Fudhail Ibn Iyad ra, “Hendaklah kamu ikhlas dan benar dalam beramal, ikhlas apabila kamu beramal hanya kerana Allah dan benar apabila amalan kamu itu menepati pertunjuk sunnah”. Sesungguhnya sunnah itu berperanan sebagai penerang dan penjelas bagi Al-Qur’an di samping sebagai pertunjuk yang sahih selepas Al-Qur’an.

Fungsi sunnah juga ialah sebagai pentafsir dan penjelas kepada isi-isi kandungan Al- Quran sebagaimana disebut oleh baginda salallahualaihiwasalam :
ألا أوتيت القرأن ومثله معه
“ Bukankah aku ini diberikan Al-Quran kepadaku dan sesuatu yang menyerupainya (Sunnah) ”
(Hadith Sahih, riwayat Abu Daud no. 4604, lihat dalam Sahih Jami’ no. 2643). Imam Syafie ra juga pernah mengatakan “ Setiap yang dihukumkan oleh rasulullah merupakan apa yang hasil dari Al-Quran.” (lihat dalam Mabahis Fi Ulum Quran, m/s 302).

Asas ibadah dalam Islam ialah keikhlasan dan menuruti pertunjuk sunnah, dari dua perkara ini maka lahirlah sesuatu amalan itu sebagai ibadah dan amalan kebajikan. Seandainya amalan yang dibuat tanpa ikhlas maka segala amalan hanyalah sia-sia dan merupakan syirik kepada Allah swt .
فِيهَا كُتُبٌ قَيِّمَةٌ
“ Dan tidaklah kamu diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan ikhlas kepada-Nya melalui deen yang lurus” (Al-Baiyinah : 3).


أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ

فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاء رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا

يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
Bahawa sesungguhnya hanyalah Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu/esa; maka sesiapa yang berharap akan bertemu Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. (Al-Kahfi : 110).

Jika sesuatu amalan itu dibuat tanpa menurut pertunjuk sunnah pula maka amalannya hanya akan ditolak dan menjadi sia-sia juga kerana tidak akan diterima di sisi Allah swt.

Sabda baginda Salallahualaihiwasalam :

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهوا رد
“ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.”
(Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .

Maka inilah yang ditakuti menimpa mereka yang beribadah tanpa ilmu dan beteraskan kejahilan dan ikutan buta serta hanya berdasarkan sangkaan sedang perbuatan itu sangatlah dicela.


وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ

وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً
"Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan." (Surah Al-Isra : 36).

" Sungguh sangkaan mereka langsung tidak membawa manfaat pada mereka (dalam membawa mereka) kepada kebenaran sedikitpun" (Surah Yunus : 36).


Disebut dalam hadith baginda dari riwayat Abdullah ibn Mas’ud bahawa baginda salallahualaihiwasalam pernah bersabda yang bermaksud “ Aku bersama kamu di telaga Al-Hau’d ketika para malaikat menghambat sekumpulan dari umat aku dan aku mengenali mereka dari ummat aku, maka aku berkata kepada tuhan (Allah) Wahai tuhan mereka umatku, maka dijawab Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang telah mereka perbuat selepas kematianmu (yakni mereka telah menyeleweng, berbuat bid;ah). (Hadith Sahih disepakati Bukhari no. 6576 & Muslim no. 2257).


Maka sebagai mencari jalan keluar dari kebahayaan kejahilan dan kesilapan dalam beramal wajarlah mengusahakan mendapatkan pengajaran dari mereka yang mengetahui akan kitab Allah dan sunnah rasul-Nya dengan pemahaman yang sahih dan benar.
أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ فَاسْأَلُواْ
“ Bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui” (An-Nahl : 43).

Melalui ilmu yang bersumber dari Kitab dan Sunnah berteraskan pemahaman yang sahih maka seseorang itu akan terselamat dari azab dunia dan akhirat dan hendaklah mengambil ilmu itu dari mereka yang benar dan sahih pada ilmu dan amal.


Kerana menurut riwayat Abdullah Ibn Masud ra pernah menyebut bahawa “Manusia akan selalu dalam keadaan baik selama mahu mengambil ilmu dari para pembesar(ulama) mereka dan jika mereka mengambil dari As-shaghir yang buruk, mereka pasti hancur.”
Mereka yang dimaksud sebagai As-shaghir ialah ahli bid’ah seperti yang diriwayatkan dari Ibnul Abdil Bar, bahawa Abdullah bin Mubarak ditanya, “Siapakah Ashaghir itu ?”.Dia menjawab,”Orang yang berbicara dengan ra’yu (akal / menafsir sendiri tanpa merujuk dalil). Adapun orang yang mengambil dari pembesar (Ulama) bukan termasuk Ashaghir.”
( Lihat Ibn Abd Bar dalam Jami’ Bayan al Ilmi, m/s 248).


Bahkan Ali bin Abi Thalib ra pun berkata, " Lihatlah dari mana kamu mengambil ilmu kerana ilmu adalah agama.” (Lihat Al Khatib Al Baghdadi, dalam At Tankil, m/s 121).

 

مَا الْكِتَابُ وَلَا الْإِيمَانُ وَلَكِن جَعَلْنَاهُ نُورًا نَّهْدِي بِهِ مَنْ  مَا كُنتَ تَدْرِي

نَّشَاء مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
"
Engkau tidak mengetahui apakah Kitab itu dan tidak juga iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran itu cahaya yang Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau benar-benar memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus.."                  (Surah Syuura : 52).