Login | Sign Up | About Us | Contact | Help | Sitemap
 
9/5/2010
 
Search
   
Language
 
 
  Home  
     
     
  Writers Column
 
     
Newsletter Subscribe
 
 
  Multimedia Collections  
     
  Photos
  Audio
  Video
 
 
 
Latest Current Issues  
 
Mengikut Pertunjuk Sunnah
Posted on10/22/2007 1:23:10 PM
By Ust Emran Ahmad

Mengikut Pertunjuk Sunnah

Ustaz Emran Ahmad

 

Alhamdulillah segala puji hanya bagi Allah, selawat dan salam buat rasulnya Muhammad Salallahualaihiwasalam. Sesungguhnya Allah swt telah membangkitkan pada setiap umat rasul-rasul dan utusan-Nya yang menyeru manusia kepada pertunjuk dan jalan yang diredhai oleh Allah serta mengajak manusia meninggalkan taghut dan kesesatan.
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولاً أَنِ اعْبُدُواْ اللَّهَ وَاجْتَنِبُواْ الْطَّاغُوتَ(النحل :36)
"Dan sesungguhnya kami telah bangkitkan pada setiap umat akan rasul-rasul yang mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhi taghut" .(Surah An-Nahl : 36).Taghut merujuk kepada tafsir para sahabat seperti Ibn Abbas, Sayidina Ali ra dan Ibn Masud menyebutnya sebagai " Iblis, Syaitan, Berhala, Melampaui batas (Syirik)". (Sila rujuk Tafsir Ibn Katsir dalam ayat ini bagi pemahaman lanjut).

Sesungguhnya tidaklah yang dibawa oleh rasul melainkan apa yang telah diperintahkan kepada mereka oleh Allah swt dan menjadi kewajipan kepada golongan yang beriman untuk mentaati para rasul dan menuruti segala perintah dan meninggalkan segala larangan mereka. Sebagaimana yang telah diarahkan oleh Allah swt kepada setiap muslim dalam firmannya :
وَمَآ آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُواْ (الحشر : 7) " Dan apa-apa yang diperintahkan (ditinggalkan ) oleh rasul maka ambillah (taatlah) dan apa-apa yang ditegahnya maka tinggalkanlah" (Surah Al-Hasyr: 7).

Bagi umat akhir zaman ini, yang terkandung segala bangsa, keturunan sehingga hari kiamat sesungguhnya Allah swt telah mengutuskan bagi kita , Muhammad bin Abdullah Salallahualaihiwasalam sebagai rasul-Nya, sebagai saksi dan pemberi syafaat kepada seluruh manusia yang beriman kepada risalah kenabiannya dan menuruti sunnahnya dan meninggalkan larangannya.


 

Perintah menuruti Sunnah Nabi Muhammad Salallahualaihiwasalam merupakan satu perintah yang bahkan datang sendiri dari Allah swt dan menjadi kewajipan setiap umatnya untuk melaksanakan perintah tersebut. Sesungguhnya tidaklah wajar bahkan sangat berdustalah mereka yang mengaku muslim dan beriman namun mengingkari sunnah Nabi Salallahualaihiwasalam. Sedang Allah swt telah berfirman: يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللَّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ  
" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa: 59). Juga dalam ayat وَأَطِيعُواْ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ  " Dan taatlah kamu kepada Allah dan kepada rasul jika kamu benar-benar beriman " (Surah Al-Anfaal: 1). Amat menghairankan ramai yang mengaku mentaati Allah dan rasul namun mereka sebenarnya jelas melakukan perkara yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah Salallahualaihiwasalam. Sedangkan ketaatan kepada rasul itu merupakan perintah dan juga ketaatan kepada Allah swt sebagaimana firman-Nya: مَّنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ
"Barangsiapa yang mentaati rasul maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah" (Surah An-Nisa: 80). Baginda rasul juga pernah bersabda sebagai maksud " Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah ucapan Allah dan sebaik-baik ajaran adalah ajaran Rasulullah. Dan sesungguhnya sejelek-jelek perkara adalah sesuatu yang diada-adakan (dalam agama), kerana sesungguhnya sesuatu yang baru diada-adakan (dalam agama) adalah bidah dan setiap bidah adalah kesesatan." (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 867).

Mentaati rasul ialah dengan menurut sunnahnya dan mengikut perintahnya serta meninggalkan larangannya. Namun sangat lebih menjelekkan dan menghina sunnah dan keperibadian serta risalah nubuwwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad Salallahualaihiwasalam ialah apabila masyarakat Melayu Malaysia memandang sunnah rasul hanyalah pada perkara-perkara remeh dan mengarut seperti " Menggunakan kayu sugi, bercelak, memakai jubah atau serban, menyimpan janggut, memakai minyak attar, keluar berdakwah 40 hari dan lain-lain perbuatan yang disalah fahami oleh masyarakat dan sangat mengecewakan."


 

Amat malang apabila disebut sunnah maka pemikiran akan segera menangkap perkara-perkara seperti kayu sugi dan lain-lain untuk diberi contoh perihal sunnah. Seolah kedatangan Nabi Muhammad Salallahualaihiwasalam dan risalahnya cuma membawa perkara-perkara remeh !. Sungguh jasa perlecehan sunnah ini tidak lain merupakan jasa golongan yang jahil agama dalam masyarakat Melayu yang menyempitkan takrifan sunnah dan memperlecehkan sunnah serta meminggirkannya dari perkara asas dan utama seperti Aqidah, Ibadah, muamalah, dan sirah.

Sedangkan sunnah yang difahami oleh para sahabat, para ulama salaf soleh tidaklah seperti yang difahami oleh orang awam hari ini. Sunnah pada hakikatnya mencakupi seluruh aspek kehidupan duniawi dan ukhrawi. Sunnah dari sudut bahasa dimaksudkan sebagai " Jalan", atau "Laluan tinggalan seseorang" atau "Sesuatu yang diasaskan". (Sila lihat Lisan Arab m/s 226 Jilid 13).

Manakala dari sudut istilah fuqaha dan pemahaman sunnah didefinasikan dengan pelbagai pendapat menurut bidang dan cabang ilmu Islam, namun secara umum Sunnah bermaksud "Apa-apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah Salallahualaihiwasalam baik perkataan (hadith), perbuatan atau tindakan, larangan atau tegahan, iqrar atau taqrir atau pun sifat dan pensifatan ke atas nabi salallahualaihiwasalam yang sahih datang dari baginda maka ianya dianggap sunnah dan menjadi sumber hukum serta panduan kedua selepas Al-Quran. (Sila lihat Majmuk Fatawa Ibn Taimiyyah, Tuhfatul Ahwazi, Muqadimah m/s 11 Jilid 1).

Imam Nawawi menyebut Sunnah ialah jalan yang ditunjukkan oleh Nabi Salallahaualaihiwasalam dalam ibadah, akhlak, muamalah iaitu melalui ucapan, perbuatan atau iqrar baginda. (Sila lihat Riyadus Solihin m/s 431 Jilid 1).

Pemahaman sebeginilah yang dipegang oleh para imam ummah dan para ulama’ salaf soleh sebagai maksud kepada sunnah sekaligus menjadikan sunnah sebagai sesuatu yang mencakupi keseluruhan aspek dalam agama Islam dan sebagai panduan yang melengkapkan Islam selepas Al-Quran.

 

Maka sangatlah jelek apabila muncul golongan yang menambah ajaran Islam dengan fikiran dan sangka-sangka mereka konon melakukan hal yang baik sedang pertunjuk Al-Quran dan As-Sunnah sudah mencukupi menerangi manusia dan menyelamatkan dari kesesatan sebagaimana sabda baginda salallahualaihiwasalam :

تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب الله وسنة رسولهAku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu sesat iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulnya.” (Hadith Hasan, riwayat Malik dalam Muwatho no 898, Hakim dalam Mustadrak no.63).

Dari hadith di atas jelaslah bahawa barangsiapa yang bercukupan sekadar menuruti sunnah maka sudah berpada baginya untuk menyelamatkan diri dari kesesatan. Sedang jika nabi sendiri menjamin sesiapa yang menurut kitab Allah dan As-Sunnah sudah terjamin dari kesesatan maka siapakah pula yang akan berani menambah ajaran Islam ini? Sebagai kononnya masih belum sempurna dan masih perlu pertunjuk selain dari-Nya?

Begitulah pemahaman para salaf soleh yang menjadikan hidup mereka bercukupan dengan pertunjuk Allah dan rasul yang melengkapi seluruh aspek kehidupan. Seperti yang telah sampai kepada kita riwayat dari Abd Rahman bin Yazid dari Abdullah ibn Mas’ud ra yang telah berkata “ Bersedikit dan berpada (beramal) dalam sunnah lebih utama dari bersungguh-sunguh dan banyak dalam bid’ah” (lihat dalam Sunan Darimi no. 217).

Begitu juga seperti yang disampaikan oleh Sufyan ibn Uyainah berkata aku mendengar Asim berbicara kepada Abi Al-Aliyah dengan katanya “ Tetaplah pada perkara yang awal-awal dipegang dan diperintahkan (oleh para sahabat) sebelum khilafnya ummat”. Dan telah berkata juga Al-Auza’ie “Bersabarlah di atas sunnah dan berhentilah pada apa yang golongan terdahulu berhenti padanya (yakni pada perkara yang para sahabat berhenti dari melakukannya) dan berkatalah dengan apa yang dikatakan oleh mereka (para sahabat) dan berpadalah dengan apa yang mereka merasa cukup (sebagai panduan mereka) dan laluilah jalan salaf soleh.” (Riwayat Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya 143 Jilid 6).

Sesungguhnya jalan para salaf soleh ialah sebaik jalan dan mereka pula merupakan sebaik ummat. Sabda baginda salallahualaihiwasalam melalui riwayat Aisyah ra :
خير الناس القرن الذي أنا فيه ثم الثاني ثم الثالث Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi’ien). “ (Sahih Muslim no 1965 Jilid 2, Abu Daud 44 Jilid 5).

Pertunjuk sunnah dan nikmatnya ajaran Islam yang tulen hanya difaham oleh mereka yang mahu membukakan hati dan mata mereka kepada hidayah dan pertunjuk-Nya. Melalui jalan yang telah ditunjukkan oleh rasul dan para sahabat dan menuruti ajarannya tanpa menambah walau sedikit dan sebesar zarah mahupun menguranginya.

Malangnya mereka para golongan agama taqlid (yang beragama hanya sekadar ikutan tanpa ilmu) telah meninggalkan sunnah Nabi Salallahualaihiwasalam dalam hal aqidah dengan mengambil aqidah yang bukan dari apa yang dibawa oleh Rasulullah Salallahualaihiwasalam sebaliknya mengambil aqidah dari ajaran Asya’irah dan faham sifat 20, Muktazilah dan akal fikiran dan meninggalkan hadith-hadith sahih (Sunnah) dan dalil-dalil Al-Quran semata-mata kerana tidak dapat diterima oleh akal mereka. (InsyaAllah akan diterang lebih lanjut dalam kitab Aqidah).

Dalam perihal feqah dan ibadah pula mereka menolak hadith-hadith sahih (Sunnah) Nabi Salalllahualaihiwasalam kerana ianya ternyata bercanggah dengan apa yang dipegang oleh mazhab, pendapat imam-imam, tok-tok guru dan kitab-kitab kuning mereka. Malahan walau jelas perbuatan mereka dalam ibadah seperti perihal feqah dalam bersuci dan taharah bercanggah dengan perbuatan Nabi Salallahualaihiwasalam , para sahabat dan tabi’ ien namun mereka akan tetap berpegang pada pendapat ustaz-ustaz, tok-tok guru mereka semata-mata kerana mereka beralasan mereka bermazhab Syafie’ sedang apa yang mereka lakukan tiada nas dan dalil bahkan dari Imam Syafie ra sendiri.


 

Sungguh sangat celalah mereka dan demi Allah sangat buruklah mereka dalam hidup mereka dunia dan akhirat sedang Allah swt telah berfirman : وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ “ Dan taatlah kamu kepada rasul semoga kamu diberoleh rahmat.” (Surah An-Nur : 56).Sedangkan Sunnah Nabi Salallahualaihiwasalam mencakupi segala urusan agama dan dari sepenting perkara iaitu Aqidah sehinggalah kepada sekecil perkara mencabut duri di jalanan merupakan kewajipan kepada setiap muslim untuk menurutinya, mempelajarinya dan mengamalkannya lalu benarlah firman Allah swt : لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌDan sesungguhnya pada peribadi rasulullah itu sebagai contoh teladan yang terbaik.” (Surah Al-Ahzab : 21). Mengakui peribadi rasul sebagai contoh terbaik yakni dengan mengimani ayat Allah maka sewajarnyalah juga setiap muslim menuruti sunnah dan meninggalkan bid’ah kerana menyakini jika setiap perkara itu baik nescaya sudah ada pertunjuk dari nabi melakukannya, atau sudah diterangkan oleh baginda kerana bagindalah pelopor kebaikan dan sebaik contoh teladan. Sebagaimana dalam riwayat Abu Dzar berkata : Rasulullah salallahualaihiwasalam bersabda : “Tidaklah tertinggal sesuatu yang dapat mendekatkan ke Syurga dan menjauhkan dari Neraka kecuali telah diterangkan pada kalian.” Juga disebut oleh Abu Zar ra akan katanya “ Rasulullah meninggalkan kami dalam keadaan tidak ada seekor burung pun yang mengepak-ngepakkan kedua sayapnya di udara kecuali beliau menyebutkan ilmunya pada kami.” (Hadith Sahih riwayat Thabrani dalam Mu’jamul Kabir, lihat As Sahihah oleh Syeikh Albani ra 416 Jilid 4 dan hadith ini memiliki pendukung dari riwayat lain).

Dalam perkara Aqidah hendaklah seorang yang mengaku muslim hendaklah menuruti sunnah rasul dan para sahabatnya dalam berittiqad, beraqidah sepertimana rasul dan para sahabat beraqidah walaupun berbeza dengan apa yang dipegang oleh kebanyakan orang lain. Bahkan begitulah dalam perihal solat, ibadah dan perihal feqah yang lain haruslah menuruti sunnah Rasulullah Salallahualaihiwasalam walaupun bertentangan dengan mazhab. Melalui riwayat Malik bin Humairis ra menyebut bahawa baginda Rasulullah Salallahulaihiwasalam pernah bersabda :
صّلوا كما رأيتموني اصّلي Solatlah kamu
seperti mana kamu melihat aku bersolat”
(Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 631 dan Ahmad no. 53 Jilid 5 ).


Maka wajarkah golongan yang mengaku beriman dan mengaku muslim melakukan sesuatu yang bercanggah dengan apa yang diperintahkan oleh Nabi Salallahualaihiwasalam ? Iaitu bersolat dengan tidak seperti yang dibuat oleh Nabi ? Bahkan jauh sekali dibuat oleh para sahabat seperti mana solatnya ramai orang dengan kejahilan dan penuh dengan solat yang ditokok tambah dan dipenuhi bid’ah yang tidak pernah dibuat oleh Nabi Salallahualaihiwasalam.

Apakah mereka menambah sesuatu dalam agama sedang ianya tidak pernah dibuat oleh rasul dan para sahabat ra ? Apa hak mereka menambah dalam ibadah pada Allah ? Apakah mereka merasa tidak cukup dan tidak puas terhadap apa yang sudah ada dan di bawa serta ditinggalkan oleh Rasulullah Salallahualaihiwasalam sehingga menyebabkan mereka menokok tambah konon perkara baik itu eloklah ditambah-tambah sedang Nabi Salallahualaihiwasalam amat mencela perbuatan bid’ah dan tokok tambah ? Sabda baginda Salallahualaihiwasalam :
من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهوا رد
“ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.” (Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .

Lihatlah betapa hadith yang satu ini sahaja sudah cukup berlawanan dengan perbuatan mereka sekarang ini !!! Maka jika seseorang menolak mazhab maka masyarakat Melayu akan kecoh menuduhnya sebagai sesat sedang tiada dalil jelas dan tiada pun perintah dari Al-Quran mahu Sunnah jelas menyuruh bermazhab namun apabila para golongan jahil ini menolak hadith dan menolak untuk beramal dengan Al-Quran dan Sunnah maka apa pula hukum mereka ? Apa pula yang harus dituduh pada mereka ?


 

 

 

Tidakkah mereka berasa risau dimasukkan ke dalam golongan yang menolak sunnah nabi ? Sedang baginda salallahualaihiwasalam menyebut seperti dalam riwayat Abu Hurairah dengan sabdanya :
كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبى : قيل ومن يأبى يا رسول الله ؟ من أطاعني دخل الجنة ومن عصاني فقد أبى
“ Setiap Ummatku akan masuk syurga melainkan mereka yang ingkar, maka sahabat bertanya, siapakah yang ingkar itu wahai rasulullah ? Siapa yang mentaati aku maka dia akan masuk syurga dan siapa yang menderhakai aku maka dialah golongan yang ingkar.” (Hadith Sahih riwayat Bukhari no. 728).

Dalam hadith yang lain baginda salallahualaihiwasalam pernah menyebut :
فمن رغب عن سنتي فليس مني “ Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukanlah dari golonganku (ummatku).” (Hadith Sahih Bukhari, Bab Nikah, no.1). Dari Sufyan As-Sauri berkata “ Tidak diterima perkataan melainkan dengan amal dan tidak diterima amal dan perkataan melainkan dengan niat (ikhlas) dan tidak bermanfaat perkataan, amal dan niat ikhlas melainkan dengan menepati Sunnah”.

Maka cukuplah bagi setiap yang beriman dengan mentaati perintah rasul dan menjauhi bid’ah dan menetap diri pada sunnah. Sesunguhnya bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat itu tidak lain selain membawa ke neraka. Manakala perbuatan bid’ah dalam agama adalah haram berdasarkan Al Quran, As Sunnah, dan ijma’ (kesepakatan ulama), kerana membuat bid’ah bererti menetapkan syariat yang menyaingi syariat Allah, yang bererti menentang dan mengadakan permusuhan terhadap Allah dan Rasul-Nya. (Hurmatul Ibtida’ fid Dien wa Kullu Bid’atin Dlalalah, Abu Bakar Jabir Al Jazairi, m/s 8).

Bid’ah dari sudut bahasa bererti “Memulakan sesuatu atau mencipta sesuatu tanpa pernah ada contoh atau teladan tentangnya.” (Mu’jam Muqayis Al-Lughah no.209 Jilid 1), (Fathul Bari 253 Jilid 13). Sebahagian mengatakan ianya sesuatu yang tiada asal juga ada mengatakan ianya ialah perekaan sesuatu yang baru tanpa pernah dicipta sepertinya atau diketahui sepertinya (Lihat Al-Ainul lil Khalil bin Ahmad 54 Jilid 2).
Manakala bid’ah dari sudut ta’rifan istilah fuqaha secara umum ialah “ Mengadakan sesuatu yang baru dalam agama yang seakan-akan perkara agama dengan maksud dibuat untuk mendekat diri pada Allah swt”.(Sila lihat Imam Syatibi dalam Al-I’tisom no.37). Juga disebut oleh Imam Ahmad bin Hajar Al-Haisami “ Bid’ah ialah apa yang tidak dibina berasaskan dalil syar’ie…” (Al-Fatawa Al-Hadisiyah,m/s 281).

Imam Nawawi pula menyebut “ Bid’ah ialah mengadakan sesuatu yang tidak ada pada zaman Rasulullah salallahualaihiwasalam. (Tahzibul Asma Wal Lughat m/s. 22/3). Kesimpulannya bid’ah ialah setiap perkara baru yang dibuat dalam urusan agama dan bertentangan dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah salallahualaihiwasalam atau sesuatu yang berbentuk penambahan kepada agama Islam.
Sesungguhnya bid’ah sangatlah dicela dan merupakan sesuatu yang
cuba dibuat sebagai bentuk penambahan dalam agama seolah agama Islam belum sempurna. Abdullah bin Umar ra pernah berkata : “Setiap bid’ah adalah sesat sekalipun manusia memandangnya baik.” Bid’ah sangat bahaya kepada Islam kerana ia merupakan sesuatu yang dapat menghilangkan keaslian dan kesucian agama Islam serta penambahan yang dilakukan seolah menunjukkan agama Islam masih belum sempurna sedang Allah swt telah pun berfirman :

ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلأِسْلاَمَ دِيناً “Sesungguhnya hari ini telah aku sempurnakan pada kamu akan agama kamu dan aku sempurnakan nikmatku pada kamu dan aku meredhai Islam sebagai agama kamu.” (Surah Al-Mai’dah : 3).
Menurut riwayat Abdullah Ibn Mas’ud ra pernah menyebut “Manusia akan selalu dalam keadaan baik selama mahu mengambil ilmu dari para pembesar(ulama’) mereka dan jika mereka mengambil dari Ashaghir dan buruk, mereka pasti hancur.” (Ibn Abd Bar’ Jami’ Bayan al Ilmi, m/s 248). Apa yang dimaksud Ashaghir itu adalah ahli bid’ah seperti yang diriwayatkan oleh Ibnul Abdil Bar, bahawa Abdullah bin Mubarak ditanya, “Siapakah golongan Ashaghir itu ?”. Dia pun menjawab,”Orang yang berbicara dengan ra’yu (akal/menafsir sendiri tanpa merujuk dalil). Adapun orang yang mengambil dari pembesar (Ulama’) bukan termasuk Ashaghir.” (Jami’ Bayan al Ilmi, m/s 246).

Dalam Syarh Ushul I’tiqad Ahli Sunnah, Al-Lalika’I meriwayatkan perkataan Abdullah bin Mubarak, “Ashaghir adalah ahli bid’ah.” (Syarah Usul I’tiqad Ahlul Sunnah, m/s 85 Jilid 1).

Perintah menjauhi bid’ah sangatlah perlu dipatuhi oleh umat Islam dan setiap yang mengaku beriman kepada Allah dan rasul. Sangat buruk celaan pada perbuatan bid’ah dan dari riwayat Irbad ibn Sariyah ra baginda rasul salallahualaihiwasalam pernah bersabda sebagai pesan yang sangat penting buat semua umat Islam iaitu baginda bersabda :
أوصيكم بتقوى الله والسمع والطاعة وان كان عبدا حبشيا فانه من يعش منكم فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي و سنة الخلفاء الراشدين المهديين فتمسكوا بها و عضوا عليها بالنواجذ وإياكم ومحدثات الأمور فان كل محدثة بدعة و كل بدعة ضلالة
“ Aku berpesan kepada kamu supaya bertaqwalah kamu kepada Allah, dan dengar serta patuhlah kepada pemimpin walaupun dia diangkat dari hamba habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas aku pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Maka berpeganglah kamu pada Sunnah aku dan sunnah khulafa Ar-Rasyidin yang diberi pertunjuk selepas aku . Peganglah ia (sunnah) sesungguh-sungguhnya sehingga kalau pun kamu terpaksa mengigitnya dengan gigi geraham kamu. Dan berhati-hatilah kamu dengan perkara baru !!! Sesungguhnya setiap perkara baru (dalam agama) ialah bid’ah !!! dan setiap bid’ah itu sesat !!! (Hadith Sahih , riwayat Tirmidzi (no.2676) , Abu Daud (no. 4607) dan Ahmad (no.12561).
Berdasarkan dari hadith ini sangat menunjukkan kepada kita ketegasan baginda memperingatkan ummatnya akan bahaya bid’ah. Sesungguhnya pada hari ini bid’ah sangat dahsyat menyerang ummat Islam khususnya masyarakat Melayu
Malaysia. Di merata-rata tempat kedengaran perkara baru dan hal yang pelik-pelik dalam agama. Wujud manusia bercakap perkara agama menggunakan akal, berhujah dalam agama menggunakan rasa hati dan perasaan serta ilmu hati dan ladunni (yang tidak pernah ada dalam Islam) serta wujud pula manusia yang engkar dan benci pada hadith dan mengaku muslim hanya dengan memakai Al-Quran (Anti-Hadith).

 

 

Sangatlah elok dan menarik ungkapan Imam Az Dzahabi yang pernah berkata,” Jika ada seorang ahli kalam(Ahli akal, mantiq, rasionalis yang juga ahli bid’ah berkata, “Jauhkan kami dari Al Quran dan As Sunnah dan biarkan kami menggunakan akal,” maka ketahuilah dia ialah Abu Jahal. Bila ahli Suluk/ ahli Tasauf/ golongan tariqah berkata, “Tinggalkan dalil zahir dan akal, pakailah za’uq (perasaan) dan wajd (suara hati, wahyu dalam ibadah), maka ketahuilah dia adalah iblis dalam bentuk manusia. Jika dia mendekatimu, larilah atau perangi hingga kalah atau bacakanlah ayat kursi lalu cekiklah dia .” (Siyar‘Alamun Nubala m/s 472 Jilid 4 ).
Benarlah seperti kata Sufyan As-Sauri bahawa “ Bid’ah lebih disukai oleh Iblis dari maksiat kerana maksiat manusia akan bertaubat darinya sedang bid’ah manusia akan merasa tidak bersalah dan berterusan melakukannya.”. (Sila lihat Hilyatul Auliya oleh Abu Nu’aim m/s 26 Jilid 7).
Sayanglah bagi mereka yang hatinya ikhlas menyembah Allah namun ibadah mereka dan amalan agama mereka penuh dengan bid’ah dan kesesatan. Ini semua tidak lain berpunca dari bid’ah yang dilakukan oleh golongan agama yang merupakan awal-awal penyebar kesesatan.
Amatlah dirisaukan balasan ke atas mereka ini di akhirat seperti disebut dalam hadith baginda dari riwayat Abdullah ibn Mas’ud bahawa baginda salallahualaihiwasalam pernah bersabda yang bermaksud “ Aku bersama kamu di telaga Al-Hau’d ketika para malaikat menghambat sekumpulan dari umat aku dan aku mengenali mereka dari ummat aku, maka aku berkata kepada tuhan (Allah) Wahai tuhan mereka umatku, maka dijawab Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang telah mereka perbuat selepas kematianmu (yakni mereka telah menyeleweng, berbuat bid;ah). (Hadith Sahih disepakati Bukhari no. 6576 & Muslim no. 2257).
Sebagai peringatan dan demi keselamatan kembalilah kepada As-Sunnah dan bersamalah dengan golongan Ahlul Sunnah Wal-Jamaah seperti mana di sebut dalam hadith baginda yang diriwayatkan oleh Ibn Umar ra yang bermaksud “ Akan datang kepada umatku perkara seperti yang pernah menimpa kaum bani
Israel , selangkah demi selangkah sehingga akan berlaku dikalangan mereka yang berzina dengan ibunya secara terang-terangan. Sehingga ada umatku akan melakukan sedemikian. Sesungguhnya umat bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan dan kesemuanya di neraka kecuali satu golongan. Maka bertanyalah para sahabat ra siapakah golongan yang satu itu wahai rasulullah ? Maka jawab baginda “ Golongan yang aku berada di dalamnya dan para sahabatku .” (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no.26 Jilid 5, Hakim no.218 Jilid 1).

Marilah kita kembali kepada jalan para salaf soleh dalam urusan agama dan meninggalkan kedudukan kita sekarang yang penuh dengan lumpur-lumpur dan karat-karat jahiliyyah dan bid’ah. Kembalilah kepada sunnah dan dalil serta tinggalkanlah bid’ah dan kejahilan. Sebagaimana Allah swt telah berfirman :
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ ٱللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
“Katakanlah; jika kamu benar-benar cintakan Allah maka ikutlah aku (rasul) maka Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa kamu dan sesungguhnya Allah Maha Pengasih”(Ali Imran