 |
| |
|
 |
 |
 |
 |
|
 |
 |
| |
Multimedia Collections |
|
 |
 |
| |
|
|
 |
|
Photos
» collection 1
» collection 2 |
 |
 |
|
Audio
» collection 1
» collection 2 |
 |
 |
|
Video » collection 1
» collection 2 |
|
 |
 |
|
|
|
 |
| |
|
|
Ahmad Khathib Sambas - Mursyid Tariqat Qadiriyah
Posted on 9/5/2007 1:48:26 PM
Ulama Nusantara Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH KESOHORAN
Syeikh Ahmad Khathib Sambas di kalangan pengamal Tariqat
Qadiriyah-Naqsyabandiyah, sama ada peringkat Nusantara mahu pun antarabangsa
pada zamannya tidak dinafikan. Sekurang-kurangnya terdapat dua buah kitab yang
ditulis dalam bahasa Arab oleh orang Arab, menceritakan kisah ulama-ulama Mekah
dan nama Syeikh Ahmad Khathib Sambas juga terdapat di dalamnya. Kitab yang
pertama, Siyar wa Tarajim, karya Umar Abdul Jabbar. Kitab kedua, Al-Mukhtashar
min Kitab Nasyrin Naur waz Zahar, karya Abdullah Mirdad Abul Khair yang
diringkaskan oleh Muhammad Said al-Amudi dan Ahmad Ali. Kita sangat berterima
kasih kepada kedua-dua penulis Arab itu, walau bagaimanapun ketepatan data dan
fakta termasuk tahun lahir dan wafatnya perlu ditinjau kembali.
Nama
lengkapnya ialah Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar bin Abdullah bin
Muhammad as-Sambasi. Lahir di Kampung Dagang, Sambas. Tarikh lahirnya hanya
disebut oleh Umar `Abdul Jabbar, ialah pada bulan Safar 1217 H (kira-kira
bersamaan 1802 M, pen:), tidak terdapat tulisan lainnya. Wafatnya di Mekah
tetapi terdapat perbezaan pendapat mengenai tahun kewafatannya antara Umar Abdul
Jabbar dengan Abdullah Mirdad Abul Khair. Abdullah Mirdad Abul Khair menyebut
bahawa Syeikh Ahmad Khathib wafat tahun 1280 H (kira-kira bersamaan 1863 M,
pen:), tetapi menurut Umar Abdul Jabbar, pada tahun 1289 H (kira-kira bersamaan
1872 M, pen:). Tahun wafat 1280 H yang disebut oleh Abdullah Mirdad Abul Khair
sudah pasti ditolak, kerana berdasarkan sebuah manuskrip Fat-h al-Arifin
salinan Haji Muhammad Said bin Hasanuddin, Imam Singapura, menyebut bahawa
``Muhammad Saad bin Muhammad Thasin al-Banjari mengambil tariqat daripada
gurunya, Syeikh Ahmad Khathib yang tersebut itu di dalam negeri Mekah
al-Musyarrafah di dalam halwatnya, dan khatamnya pada hari Arba, yang ketujuh
hari dari bulan Zulhijjah sanah 1286 Hijrah. Jadi bererti pada 7 Zulhijah 1286
H, Syeikh Ahmad Khathib Sambas masih hidup. Oleh itu Syeikh Ahmad Khathib Sambas
wafat tahun 1289 H yang disebut oleh Umar Abdul Jabbar menepati yang sebenarnya.
KEMUNCAK KEMASYHURAN Manusia menjadi terkenal kerana berbagai-bagai
sebab, Syeikh Ahmad Khathib Sambas terkenal kerana beliau sebagai Mursyid
Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Pada zamannya, di Mekah tentang tariqat itu,
Syeikh Ahmad Khathib Sambas merupakan Syeikh Mursyid yang teratas sekali. Ia
bukan sahaja bagi masyarakat dunia Melayu, tetapi juga diakui oleh ulama-ulama
dunia luar. Sepanjang sejarah perkembangan Tariqat Qadiriyah di dunia Melayu
dari dahulu hingga sekarang memang tidak dapat dinafikan bahawa tokoh yang
terbesar dan paling berkesan bagi ulama-ulama Jawi/Nusantara dalam penyebaran
Tariqat Qadiriyah itu ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Nama beliau juga
dikenal di Uzbekistan, kerana salah seorang murid beliau bernama Syeikh Abdul
Murad, adalah seorang ulama Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang menerima
tawajjuh kedua-dua tariqat itu daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas.
FAT-HUL `ARIFIN Fat-hul `Arifin termasuk salah satu istilah yang
banyak dibicarakan di kalangan sufi. Tetapi yang dimaksudkan di sini ialah
sebuah risalah atau kitab yang berasal daripada imlak Syeikh Ahmad Khathib
Sambas. Imlak tersebut ditulis oleh beberapa orang muridnya, dan yang sempat
diterbitkan hanyalah versi catatan Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim
al-Bali. Manuskrip Fat-hul `Arifin yang dinisbahkan kepada Syeikh Ahmad Khathib
Sambas, yang ada pada penulis ialah: 1. Judul Silsilah Tariqat Qadiriyah wan
Naqsyabandiyah yang dicatat oleh Abdul Hakim ibnu Marhum Lebai Abdul Kari
Sambas, Kampung Asam. Naskhah ini merupakan satu-satunya yang ditulis oleh orang
yang berasal dari Sambas sendiri. 2. Manuskrip tanpa judul, hanya dinyatakan
``Talkin, zikir dan baiah tariqat yang diijazahkan oleh guru kita Maulana
asy-Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar Sambas yang di dalam negeri Mekah
al-Musyarrafah kepada sekalian muridnya. Pada manuskrip ini dimulai nama
pencatatnya bernama Haji Muhammad Said bin Hasanuddin, Imam Singapura, bahawa
beliau ``... mengambil talkin, dan baiah, dan tawajjuh, serta ijazah daripada
gurunya Sayid Muhammad bin Ali al-Aidrus. Dia mengambil daripada Sayid Jaafar
bin Muhammad as-Saqaf Pontianak, mengambil daripada Muhammad Saad bin Muhammad
Thasin al-Banjari mengambil daripada Syeikh Ahmad Khathib... `` Manuskrip ini
ditulis tahun 1286 H dan selanjutnya disalin oleh Sayid Ahmad bin Ismail
al-Aidrus pada hari Khamis, 4 Zulhijah 1293 H/21 Disember 1876 M, diperoleh di
Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M. 3. Fat-hul `Arifin, naskhah
yang ditulis oleh Haji Muhammad bin Syeikh Abdus Samad al-Kalantani diselesaikan
pada tahun 1294 H/1877 M. Dalam manuskrip ini dikombinasikan dengan Tariqat
Syathariyah.
Tiga versi yang tersebut di atas merupakan manuskrip yang
pernah diterbitkan iaitu versi catatan Syeikh Muhammad bin Ismail bin Abdur
Rahim al-Bali, beliau selesai menulis kembali setelah diteliti dan bersih
daripada corat-coret pada bulan Rejab 1295 H/Julai 1878 M. Naskhah tersebutlah
yang ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, kemudian dicetak pertama kalinya
oleh Mathbaah al-Miriyah al-Kainah Mekah, 1305 H/1887 M, yang diterbitkan itu
diberi judul Fat-hul `Arifin.
Walaupun Syeikh Ahmad Khathib Sambas
sebagai seorang tokoh sufi, namun selain ditonjolkan karya tasawuf Fat-hul
`Arifin, beliau juga menghasilkan karya dalam bidang ilmu fikah. Penulis juga
memiliki manuskrip fikah karya beliau, iaitu Fatwa Syeikh Ahmad Khathib Sambas
Perihal Jumaat. Naskhah tulisan tangan itu dijumpai tahun 1986, bekas koleksi
Haji Manshur yang berasal dari Pulau Subi, Kepulauan Riau. Kandungan naskhah
selain membicarakan masalah Jumaat terdapat pula fatwa beliau mengenai hukum
penyembelihan secara Islam. Pada bahagian akhir naskhah terdapat pula suatu
nasihat beliau yang panjang, kemudian ditutup dengan beberapa amalan wirid
beliau
selain amalan Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Sebuah karya
(judul yang sebenar tidak terdapat) yang membicarakan fikah mulai taharah,
sembahyang dan pengurusan mayat. Manuskrip tanpa dinyatakan tarikh, hanya
terdapat tahun penyalinan dinyatakan ``... Hari Khamis, 11 Muharam 1281 H oleh
Haji Ahmad ibnu al-Marhum Penggawa Nashir ahli al-Kayung jamaah Tuan Syeikh
Ahmad Khathib Sambas di Mekah al-Mukarramah ... Manuskrip di atas diperoleh di
Kampung Mendalok, Sungai Kunyit, Kabupaten Pontianak, Kalimantan Barat, pada 6
Syawal 1422 H/20 Disember 2001 M.
MURID-MURIDNYA Besar nian pengaruh
Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang bersumber daripada Syeikh Ahmad Khathib
Sambas di dunia Melayu, melebihi tokoh-tokoh penyebar Tariqat Qadiriyah seperti
Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri dan lain-lainnya yang
lebih dahulu. Di Jawa misalnya, dapat kita semak pada beberapa lembar tulisan
Zamakhsyari Dhofier dalam bukunya Tradisi Pesantren, beliau menyebut, ``Dalam
abad ke-19, organisasi-organisasi tariqat di Jawa memperoleh semangat dan
dukungan baru daripada masyarakat. Hal ini disebabkan oleh kedatangan para
pengikut Syeikh Ahmad Khatib Sambas dan Sulaiman Effendi dari Mekah.
Seterusnya, ``Namun yang cukup menarik ialah di Jawa Syeikh Ahmad Khatib Sambas
dikenal sebagai pendiri suatu tariqat baru, Tariqat Naqsyabandiyah.
Selanjutnya, ``Kedudukan Syeikh Ahmad Khatib sebagai seorang sarjana Islam perlu
kita sedari betul-betul .... Selanjutnya, ``Adalah suatu hal yang penting
bahawa seorang sarjana besar seperti Syeikh Sambas, kepada siapa hampir semua
kiyai di Jawa menelusuri penealogi intelektual mereka juga dikenal sebagai
seorang pemimpin tariqat.
Kalau demikian yang diperkatakan, sekarang
mari kita menjejaki kemantapan sistem pengkaderan yang dilakukan kepada
murid-muridnya. Salah seorang muridnya bernama Syeikh Zainal Abidin yang berasal
dari Kelantan diutus oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas ke Kalimantan Barat
sebagai `Ketua Khalifah di sana. Jadi bererti murid-muridnya yang lain, yang
semuanya berasal dari Kalimantan Barat, adalah di bawah pengawasan Syeikh Zainal
Abidin al-Kalantani. Selanjutnya semua mereka disuruh supaya mendalami pelbagai
ilmu kepada ulama yang berasal dari Kelantan itu. Kebenaran untuk mentawajjuh/
membaiah sekali-kali tidak dibenarkan kepada murid-murid yang lain selagi
Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani masih hidup, atau selagi beliau masih berada
di Kalimantan Barat. Syeikh Zainal Abidin al-Kalantani meninggal dunia di
Kampung Sebedang, Sambas.
Yang dilantik oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas
sebagai khalifahnya di Mekah ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani, beliau
mempunyai murid yang ramai sesudah Syeikh Ahmad Khatib Sambas. Untuk di Jawa
terdapat tiga orang wakil khalifah, iaitu: Di Jawa Timur, Syeikh Ahmad Hasbullah
bin Muhammad al- Manduri (Madura) dan lain-lain. Di Jawa Tengah, Syeikh Zarkasyi
Barjan, Porwajo Syeikh Ibrahim Berumbung. Di Jawa Barat, Syeikh Asnawi Banten
dan lain-lain.
Murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang bernama Syeikh
Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim berasal dari Pulau Bali. Beliau juga
diberikan kebenaran mentawajjuhkan. Salah seorang muridnya yang menjadi ulama
besar ialah Tuan Guru Haji Abdur Rahman yang berasal dari Ambon. Murid Syeikh
Ahmad Khathib Sambas yang bernama Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir berasal
dari Sarawak. Di antara muridnya ialah Haji Muhammad Arsyad bin Abdur Rahman
Pontianak. Murid Haji Abdul Lathif yang berasal dari Sarawak yang menjadi ulama
besar, mengajar di Masjidil Haram, Mekah, ialah Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab
as-Sarawaqi. Tetapi selanjutnya Syeikh Utsman Sarawak ini menerima tawajjuh
Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah sekali lagi daripada Syeikh Abdul Karim
al-Bantani di Mekah.
Masih banyak kisah murid-murid Syeikh Ahmad Khathib
Sambas yang belum sempat disebutkan di sini, penulis menyimpulkan saja bahawa
institusi pengajaran Tariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang bersumber daripada
Syeikh Ahmad Khatib Sambas yang masih kekal sampai sekarang ialah daripada
muridnya yang bernama Syeikh Abdullah Mubarak. Pondok Pesantren yang beliau
dirikan 7 Rejab 1323 H/ 5 September 1905 M masih kekal sampai sekarang, bahkan
terkenal di seluruh Indonesia dan Malaysia. Sistem pelajaran Tariqat
Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang berasal daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas itu
dikembangkan dengan penyesuaian pada zaman moden. |
| |
|
| |
|
 |