Abu Bakar Muar - Benteng pertahanan kaum tua
Posted on 9/5/2007 1:46:19 PM
Ulama Nusantara Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
NAMA lengkapnya ialah Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari bin Haji
Ahmad bin Anggak bin Datuk Sijo Bukit Moh, Muar Bandar Maharani, Johor. Beliau
dilahirkan pada tahun 1292 Hijrah/1875 Masihi, dan meninggal pada tahun 1357
Hijrah/1938 Masihi. Selama 34 tahun beliau berada di Mekah untuk menuntut ilmu,
iaitu ketika usianya enam tahun (1881 M/1299 H.) dan pulang ke tanah air pada
tahun 1915 Masihi.
GURU-GURUNYA: Semua ulama yang telah disebut
dalam riwayat Syeikh Abdullah Fahim dan Abdul Lathif Melaka, adalah juga guru
kepada Abu Bakar. Ulama yang paling rapat dengannya ialah Syeikh Ahmad bin
Muhammad Yunus Lingga.
Kepada ulama yang berasal dari Lingga, Riau itu
beliau mendalami hadis Bukhari. Sementara Ilmu Qiraat dipelajarinya dan menerima
ijazah daripada Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri, iaitu ulama yang berasal
dari dunia Melayu yang menjadi ketua qiraat tujuh di Hijaz pada zaman itu.
Seperti Abdullah Fahim, beliau juga mendalami Ilmu Falak dan menerima
ijazah daripada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Selain itu ada dua orang ulama,
gurunya yang banyak disebut dalam tulisannya, iaitu Syeikh Muhammad Mukhtar bin
Atharid Bogor dan Syeikh Umar bin Abdur Rasyid as-Sumbawi.
AKTIVITI:
Abu Bakar al-Muari adalah Qadi Muar dan pernah menjadi Mufti Johor, selama
seminggu sahaja. Bersama-sama Abdullah bin Isa, Syed Abdul Qadir bin Muhammad,
Abdus Syukur bin Ismail, Yusuf bin Muhammad, Syed Muhammad bin Othman bin Yahya,
Haji Muhammad Yunus bin Haji Ibrahim dan Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, mereka
menggubal `Undang-Undang Jam`iyah Percadangan (Bandar Maharani Muar, Mac 1925,
dicetak oleh Mathbaah al-Khairiyah Muar 1925).
Abu Bakar al-Muari
adalah pengasas Madrasah Al-Arabiyah Al-Khairiah di Muar. Beliau bukan hanya
mendirikan madrasah, tetapi keterlibatannya di Bandar Muar meliputi keseluruhan
aspek pembangunan di Muar, terutama sekali yang melibatkan urusan keIslaman.
MURID-MURIDNYA: Murid-muridnya sangat ramai, bukan hanya murid di
madrasah tetapi termasuk murid-murid yang menadah kitab di masjid, surau dan di
rumahnya, sehingga beliau dikenali dengan nama `Haji Abu Bakar Alim.
Di
antara tokoh yang pernah mendapat pendidikan di Madrasah Al-Arabiyah Al-Khairiah
ialah saudara sepupu beliau yang bernama Tan Sri Mohamed Noah. Setelah Mohamed
Noah menerima pendidikan di madrasah tersebut, Abu Bakar lalu menghantarnya
belajar ke Timur Tengah. Mohamed Noah adalah ayah mertua kepada allahyarham Tun
Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia yang kedua).
Murid Abu Bakar yang
lain ialah Ustaz Muhammad Yasin. Beliaulah yang meneruskan perjuangan pendidikan
madrasah yang diasaskan oleh gurunya itu. Muhammad Yasin adalah ayah kepada Tan
Sri Muhyiddin Yasin (sekarang Menteri Pertanian Malaysia).
Murid Abu
Bakar yang lain ialah Datuk Haji Mohd. Noor. Di antara anak beliau ialah Datuk
Haji Jumaat, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, (sekarang
Bendahari) Persatuan Sejarah Malaysia. Menurut keterangan Mohammad, anak kepada
Abu Bakar Muar, kedua-dua tokoh di atas sangat memuji dan mengenang jasa orang
tuanya (Abu Bakar).
Mohamed Noah pernah berkata, ``Kalaulah aku tidak
dididik oleh sepupuku, Abu Bakar, tiadalah aku dapat ke Timur Tengah. Barangkali
aku pun hidup dalam kejahilan tiada kenal hukum-hakam Islam ... ``.
Muhammad Yasin pula pernah berkata, ``Ketika aku akan belajar ilmu
kemegahan dunia di Sumatera, setelah diketahui oleh Abu Bakar Alim, aku lalu
dinasihatinya supaya belajar kepada beliau sahaja. Sekiranya aku melanggar
nasihat beliau, mungkin aku menjadi seorang yang jahat.
KARYA-KARYANYA: Abu Bakar al-Muari menghasilkan karangan dalam
jumlah yang banyak. Ia ditulis dalam bahasa Arab dan Melayu. Oleh sebab ruangan
yang disediakan sangat terbatas, semua karangannya tidak dapat disenaraikan di
ruangan ini.
Keterangan ringkas hanyalah sebagai berikut, bahawa
beberapa karyanya merupakan polemik dengan Syeikh Tahir Jalaluddin
al-Minankabawi al-Azhari. Walaupun Syeikh Tahir Jalaluddin adalah sahabatnya
yang sama-sama belajar di Mekah, namun pendapat kedua-duanya adalah berbeza.
Abu Bakar merupakan benteng pertahanan Kaum Tua, sedangkan Syeikh Tahir
Jalaluddin adalah pelopor pergerakan Kaum Muda. Abu Bakar juga mengarang risalah
menolak pendapat Hasan Bandung. Sebuah lagi karyanya di dalam bahasa Arab juga
menolak beberapa pendapat Sayid Rasyid Ridha, ulama Mesir, tokoh reformis yang
sangat terkenal. Karya-karya Abu Bakar Muar yang bercorak polemik dengan Syeikh
Tahir Jalaluddin yang telah ditemui ialah Taman Persuraian, ditulis pada 6
Ramadan 1346 Hijrah/1927 Masihi di Muar, Bandar Maharani.
Kandungannya
menyatakan tentang sunat sembahyang badiyah Jumaat dan qabliyahnya. Ia
membatalkan perkataan Syeikh Thahir Jalaluddin al-Minankabawi, guru Madrasah
Al-Haji Taib Parit Jamil Muar yang mengatakan sembahyang qabliyah itu bidaah.
Dan menyatakan sembahyang sunat Tahiyatul Masjid, rumuz-rumuz ulama fikah,
tarikh Imam ar-Rafiie, Imam an-Nawawi dan Ibnu Hajar al-Haitami. Dicetak oleh
Mathbaah al-Khairiyah, Muar (tanpa tarikh). Dicetak dengan perbelanjaan
ahli-ahli al-khair Johor, Muar, Segamat, Kota Tinggi dan Kukup.
Salah
satu sebab penyusunan karya ini ialah pertanyaan Haji Utsman bin Haji Muhammad
Said, guru agama Bandar Maharani, 14 Syaaban 1346 Hijrah. Surat dilampirkan pada
halaman awal dan setelah pada halaman akhir dilampirkan surat Haji Utsman bin
Haji Muhammad Said, tarikh, Bandar Maharani, 18 Zulhijjah 1346 Hijrah yang
menyambut baik kitab ini.
Judul selanjutnya ialah Taufan Yang Memalui
Atas Huraian Haji Thahir Al-Minankabawi. Diselesaikan 10 Rabiulawal 1351
Hijrah/1932 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama Mathbaah
al-Jamiliyah, Muar, 1351 Hijrah/1932 Masihi. Kandungannya merupakan polemik
dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi, sebagai tanggapan atas karya yang
berjudul Huraian Yang Membakar.
Di dalam Taman Persuraian Haji Bakar,
yang dipersoalkan ialah mengenai sembahyang qabliyah Jumaat. Ia merupakan
kelanjutan judul Taman Persuraian. Polemik dengan Hasan Bandung pula, Abu Bakar
Muar menyusun risalah berjudul Majlis Uraian Muar-Johor. Diselesaikan 20 April
1932 Masihi dalam Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menjawab dan
membatalkan fatwa pengarang Al-Fatwa Persatuan Islam Bandung yang mengatakan
babi itu najis dimakan bukan najis disentuh, dan mulut anjing pun belum tentu
najisnya. Salah satu sebab disusun karangan ini atas permintaan anggota Gubahan
Setia Kelab Muar yang ditandatangani oleh ketuanya, Abdus Syukur bin Ismail
bertarikh 2 April 1932. Surat tersebut dicetak pada halaman 1-2.
Mengenai sanggahan pendapat Sayid Rasyid Ridha selain dalam bahasa Arab,
terdapat terjemahannya dalam bahasa Melayu yang diberi judul Sanggamara Dalam
Perkara Menolak dan Membatalkan Perkataan Sayid Muhammad Rasyid Ridha Yang
Berkata Dengan Niat Ushalli Itu Bidah. Sama ada yang dalam bahasa Arab atau pun
yang dalam bahasa Melayu hingga kini belum ditemui.
Cogan Perikatan.
Diselesaikan pada 3 Zulkaedah 1346 Hijrah/1928 Masihi, dalam Muar, Bandar
Maharani, Johor. Cetakan yang pertama Mathbaah al-Khairiyah, Muar, 15 Syawal
1346 Hijrah/1928 Masihi. Kandungan risalah ini juga merupakan polemik kerana
mempertahankan pendapat golongan Mazhab Syafie daripada serangan Kaum Muda yang
menolak mengucapkan lafaz `Ushalli.
Karya Abu Bakar Muar selain yang
bercorak polemik, dilengkapi pula dengan pelbagai disiplin ilmu, di antaranya
tentang Ilmu Falak, ditulis dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip
dan belum diberi judul, diselesaikan pada 28 Rabiuakhir 1323 Hijrah/1905 Masihi
di Mekah. Kandungan ilmu falakiyah merupakan syarah nazam al-Fadhil Abil Hasan
Ali bin Abi ar-Rijal al-Katib al-Qairuani.
Ilmu Wafaq, juga dalam bahasa
Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan belum diberi judul. Diselesaikan pada
1 Zulhijjah 1323 Hijrah/1905 Masihi di Mekah. Tentang faraid (cara-cara
membahagi pusaka) ditulis kitab berjudul Nihayatut Taqrib fi Marifatil Irtsi
wat Tashib, juga dalam bahasa Arab. Ia masih dalam bentuk manuskrip dan
diselesaikan pada 28 Jamadilawal 1324 Hijrah/1906 Masihi di Mekah.
Tentang kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., disusun risalah bernama
Peringatan. Diselesaikan pada 2 Rabiulawal 1338 Hijrah/1919 Masihi dalam Bandar
Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menyatakan kalimah-kalimah yang ada di dalam
kitab Kisah Maulid an-Nabi bagi karangan Sayid Jafar al-Barzanji yang harus
diubah-ubahkan bacaannya, cetakan yang pertama, Mathbaah al-Khairiyah, Bandar
Maharani, Muar, 1938.
Juga tentang kelahiran Nabi s.a.w. beliau susun
Mastika Ajaib. Diselesaikan pada 9 Safar 1350 Hijrah/26 Jun 1931 Masihi, dalam
Bandar Maharani, Muar, Johor. Kandungannya menyatakan hukum dan kelebihan
membaca Maulid an-Nabi s.a.w., cetakan yang pertama Mathbaah al-Jamiliyah,
Parit Jamil, Muar, 1350 Hijrah/1931 Masihi. Sebab disusun risalah ini memenuhi
pertanyaan anggota Gubahan Setia Kelab Muar.
Tentang tajwid, Abu Bakar
Muar menyusun risalah Pertinjauan, Penggal Pertama. Diselesaikan pada 1 Syaaban
1342 Hijrah dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama, Mathbaah
al-Khairiyah, Muar, 1342 Hijrah/1924 Masihi. Pada halaman pertama sesudah
halaman kulit terdapat salinan ijazah daripada gurunya, Syeikh Abdullah bin
Muhammad Qasim Senggora yang dikeluarkan pada hari Jumaat, 25 Zulhijjah 1334
Hijrah di Mekah.
Hikayat Qadhi Dengan Harami, diselesaikan pada 12
Rabiulawal 1343 Hijrah dalam Bandar Maharani, Muar. Cetakan yang pertama,
Mathbaah al-Khairiyah, Muar, 1343 Hijrah/1924 Masihi. Kandungannya merupakan
sastera Islam, menceritakan kisah seorang qadi pada zaman pemerintahan Harun
ar-Rasyid
Abu Bakar juga menyusun buku-buku pengetahuan lain, seperti
buku mengenai masakan yang terkumpul dalam judul Jangka Rampaian yang terdiri
daripada tiga jilid. Saya simpulkan saja bahawa Abu Bakar Muar telah melakukan
penulisan sejak tahun 1323 Hijrah/1905 Masihi hingga 18 Muharam 1357 Hijrah/20
Mac 1938 Masihi. Judul terakhir karyanya ialah Jadwal Tarikh Antara Nabi Adam
Dengan Nabi Muhammad s.a.w. Dan Lainnya.
|