 |
| |
|
 |
 |
 |
 |
|
 |
 |
| |
Multimedia Collections |
|
 |
 |
| |
|
|
 |
|
Photos
» collection 1
» collection 2 |
 |
 |
|
Audio
» collection 1
» collection 2 |
 |
 |
|
Video » collection 1
» collection 2 |
|
 |
 |
|
|
|
 |
| |
|
|
Abu Bakar al-Funtiani Ulama pengembara
Posted on 9/5/2007 1:44:56 PM
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
DI DALAM ruangan Agama, Utusan
Malaysia minggu lalu penulis menyentuh bahawa salah seorang keturunan Syeikh
Jalaluddin al-Kalantani ada yang berkahwin dengan keluarga ulama Pontianak.
Tanpa penulis menduga bahawa ulama yang akan diriwayatkan ini pernah menjadi
sahabat dan guru kepada orang tua penulis dan mempunyai keluarga di Seberang
Perai. Dalam tahun 1949 - 1950 di beberapa pulau di Pulau Tujuh, Kepulauan Riau
didatangi oleh seorang ulama besar dari Singapura.
Masyarakat
menyebutnya Pak Tuan Alim Haji Abu Bakar. Raja Ali bin Raja Muhammad Tengku
Nong, Ketua Syarikat Al-Ahmadi & Co. Midai dan cawangannya Mathbaah
Al-Ahmadiah Singapura mengarahkan orang tua penulis, Haji Abdullah bin Haji Wan
Abdur Rahman, supaya mengeluarkan dana syarikat itu untuk mendirikan sebuah
rumah wakaf sebagai kediaman ulama tersebut. Rumah wakaf tersebut masih ada
hingga sekarang. Ia terletak di sebelah kanan Masjid Baiturrahman di Pulau
Midai, Pulau Tujuh, Kepulauan Riau.
Sejak tahun 1950, Pak Tuan Haji Abu
Bakar yang berasal dari Pontianak itu mempunyai kesan tersendiri dalam ingatan
penulis, sungguhpun penulis lama tinggal di Pontianak namun sedikit sahaja
memperoleh data mengenainya. Tokoh yang diriwayatkan ini diperoleh di Seberang
Perai dalam rangka menjejaki asal-usul ulama yang berada di kawasan itu,
tepatnya pada 5 Rejab 1425 Hijrah/21 Ogos 2004 Masihi dan 6 Rejab 1425 Hijrah/22
Ogos 2004 Masihi. Di antara yang terpenting yang diperoleh di Pematang Bertam,
bahawa ayah saudara Pak Tuan Haji Abu Bakar bernama Haji Ali bin Haji Muhammad
Nur Pontianak meninggalkan keturunan yang ramai di Seberang Perai. Ayah Pak Tuan
Haji Abu Bakar bernama Haji Abdul Ghani bin Haji Muhammad Nur adalah adik
beradik kepada Haji Ali bin Haji Muhammad Nur. Adik beradiknya seramai 27 orang
yang menetap di banyak tempat di dunia Melayu. Beberapa orang yang menjadi ulama
besar di antaranya akan disentuh serba ringkas dalam artikel ini.
Riwayat
Setelah penulis menggabungkan hasil penyelidikan terkini
yang diperoleh di Seberang Perai dengan dokumen Riau dan Pontianak yang ada pada
penulis, maka dapatlah dipastikan bahawa Haji Abdul Ghani (ayah Haji Abu Bakar)
itu adalah seorang penyandang gelaran Dato Kaya Lela Pahlawan. Ada pun Haji
Muhammad Nur atau Haji Muhammad Nur Putih itu ketika berada di Kemboja bernama
Wan Muhammad Daram. Oleh itu nama lengkap ulama yang berasal dari Pontianak yang
diriwayatkan ini ialah Haji Abu Bakar bin Dato Kaya Lela Pahlawan Haji Abdul
Ghani bin Haji Muhammad Nur Putih @ Wan Muhammad Daram bin Encik Wan Mat Thalib
bin Encik Wan Jeramat bin Umar (Megat Laksamana) bin Utsman (Dato Kaya Megat
Patan Pahang) bin Tuan Qadhi Ahmad. Tuan Qadhi Ahmad, datuk neneknya berasal
dari Melaka yang terpaksa berpindah ke Bentan, seterusnya ke Kampar dan
Minangkabau dalam peristiwa kedatangan Portugis.
Haji Muhammad Nur Putih
@ Wan Muhammad Daram setelah mengembara ke pelbagai tempat di dunia Melayu
akhirnya membuka kampung yang dinamakan Kampung Kemboja di Pontianak. Seluruh
kampung itu adalah milik beliau. Berdampingan dengan Kampung Kemboja dinamakan
Kampung Saigon dimiliki oleh Haji Yusuf Saigon adalah keturunan Syeikh Muhammad
Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Haji Muhammad Nur Putih berkahwin banyak kali
dan dikatakan mempunyai anak 27 orang. Setakat ini yang dapat dikesan hanya 10
orang.
Sebar
Anak-anak beliau ialah: 1. Haji Sulaiman bin
Muhammad Nur, beliau menyebarkan Islam di Lombok. Menurut riwayat, sampai
sekarang masih terdapat pondok pesantren yang diasaskannya. Salah seorang anak
beliau yang menjadi ulama besar ialah Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani.
Beliau menghasilkan beberapa buah karya iaitu Babul Jumah, 28 Jamadilawal 1316
Hijrah, cetakan pertama oleh Mathbaah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317 Hijrah.
Tuhfatur Raghibin fi Taqlidil Qauli bi Shalatil Jumati bi Dunil Arbain, 27
Syawal 1319 Hijrah, cetakan yang pertama oleh Mathbaah al-Miriyah al-Kainah,
Mekah, 1319 Hijrah. Nuzhatut Tharaf fi Auzani Ilmis Sharfi, 6 Syawal 1321
Hijrah, cetakan pertama, Mathbaah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 16 Safar 1322
Hijrah.
2. Haji Husein bin Muhammad Nur. 3. Haji Shalih bin Muhammad
Nur. 4. Haji Ali bin Muhammad Nur, berkahwin dengan Hajah Sadiyah binti Haji
Abdullah bin Syeikh Jalaluddin al-Kalantani, anak-anaknya ialah: Aisyah, Abdur
Razaq, Azizah dan Jamil. 5. Hajah Kaltsum binti Muhammad Nur. 6. Haji Abdul
Ghani bin Muhammad Nur, anaknya Haji Abu Bakar Pontianak, yang sedang
diriwayatkan. 7. Haji Mushthafa bin Muhammad Nur. 8. Haji Abdul Hamid bin
Muhammad Nur, 9. Haji Abdul Aziz bin Muhammad Nur, termasuk salah seorang ulama
besar Pontianak, menghasilkan di antaranya, Risalah Kitabish Shalah, bulan
Zulhijjah 1316 Hijrah, dicetak di Tempat Cap Haji Muhammad Amin, Singapura, 6
Safar 1317 Hijrah, dengan huruf batu (litografi). Karyanya yang lain ialah
Isnadul Ghulam fi Bayanil Imani wal Islam, atau judul dalam bahasa Melayu oleh
pengarangnya, Persandaran Budak-Budak Yang Baharu Belajar Pada Menyatakan Iman
dan Islam, 12 Jamadilawal 1325 Hijrah, dicetak di Tempat Cap Haji Muhammad Amin
bin Abdullah, Kampung Gelam Singapura, 1325 Hijrah. Dicetak dengan huruf batu
(litografi). Dan anak Haji Muhammad Nur Putih yang ke-10. Haji Abdul Wahhab bin
Muhammad Nur tinggal di Mekah, tidak pernah pulang ke dunia Melayu sehingga
meninggal dunia di sana.
Daripada karyanya yang berjudul Rajaul
Mustarhim fit Takhtim wat Taslim
wat Tarhim dapat diketahui nama
guru-guru beliau seperti ditulis pada halaman 26, ``Adalah tarhim yang
dianjurkan oleh datuk guru kami, al-Allamah Husein Pontianak seperti yang
ditulis akan datang. Adalah Tok Guru Husein bin Sulaiman ini satu masa dengan
guru kami asy-Syeikh Mukhtar bin `Atharid al-Batawi al-Bughri, dan guru kami
al-Allamah `Utsman Sarawak, dan guru kami asy-Syeikh `Abdul Qadir (bin Shabir]
Mandailing, dan asy-Syeikh Ahmad Khathib Min[ang]kabau. (Syeikh) Husein (bin)
Sulaiman ini hafiz al-Quran, cantik parasnya, al-amil ash-shalih. Ia mengambil
ilmu daripada ulama Mekah al-Musyarrafah, seperti: (Syeikh Sayid) Husein
al-Habsyi dan lain-lain. Aku tidak tahu ahli Pontianak yang lebih alim
daripadanya, berkata guru kami asy-Syeikh Abdul Qadir (bin Shabir) Mandailing,
``Kalau Husein bin Sulaiman tidak selalu turun ke Jawi nescaya boleh ia mengajar
di Masjid al-Haram pada waktu Daulah al-Utsmaniyah itu. Asy-Syeikh Abdul Qadir
(bin Shabir) berkata bagiku.
Pengetahuan
Daripada beberapa
maklumat dapat dipastikan bahawa Syeikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani
(Pontianak) yang tersebut dalam tulisan di atas adalah saudara sepupu beliau
sendiri, kerana sama-sama cucu kepada Haji Muhammad Nur Putih. Oleh itu dapat
dipercayai bahawa Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani lebih banyak
memperoleh pengetahuan daripadanya jika dibandingkan dengan ulama-ulama lainnya.
Walaupun kedua-duanya saudara sepupu tetapi umur Syeikh Husein bin Sulaiman
al-Funtiani jauh lebih tua daripada Haji Abu Bakar kerana Haji Sulaiman (ayah
Syeikh Husein) adalah anak daripada isteri pertama Haji Muhammad Nur Putih.
Sedangkan Haji Abdul Ghani (ayah Haji Abu Bakar) adalah anak Haji Muhammad Nur
Putih daripada isteri beliau yang kemudiannya.
Tuan Guru Haji Abu Bakar
bin
Abdul Ghani al-Funtiani pernah mengajar di Masjidil Haram, Mekah,
Pontianak dan tempat-tempat lain di Kalimantan Barat, Singapura, Tembilahan dan
tempat-tempat lain di Riau Daratan, juga Kepulauan Riau di antaranya pernah
tinggal di Pulau Midai dan Pulau Bunguran/ Natuna.
Barangkali sudah jadi
sebati dengan keperibadiannya bahawa Tuan Guru Haji Abu Bakar mengajar dengan
cara berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Pada akhir hayatnya atau
beberapa tahun sebelum beliau meninggal dunia beliau mengajar di beberapa
kampung di Seberang Perai dan sekitarnya.
1. Tafrihul Murid wal Ikhwan
fi Tahshil Tajwidil Quran, diselesaikan pada 1 Jamadilakhir 1375 Hijrah/14
Januari 1956 Masihi. Kandungannya membicarakan berbagai-bagai aspek tajwid
al-Quran, termasuk perbandingan beberapa qiraah. Cetakan yang pertama oleh Al-
Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan, Singapura, 1377 Hijrah.
2. Al-Muna fi
Asbabil Ghina, diselesaikan pada hari Khamis, 21 Syawal 1359 Hijrah.
Kandungannya membicarakan berbagai-bagai amalan tilawah surah-surah tertentu
dalam al-Quran, selawat, wirid, doa dan lain-lain sebagai ikhtiar mendapatkan
kemudahan rezeki dan kekayaan. Cetakan pertama, Mathbaah al-Umariyah, 768,
North Bird Road, Singapura, 1359 Hijrah.
3. Rajaul Mustarhim fit Takhtim
wat Taslim wat Tarhim, judul dalam bahasa Melayu oleh penyusunnya ialah
Harapan Orang-Orang Yang Menuntut Kelebihan Khatam Al-Quran Dan Taslim Dan
Tarhim, diselesaikan malam Sabtu, jam 12.20, 2 Zulhijjah 1379 Hijrah/
28
Mei 1960 Masihi. Kandungannya membicarakan cara-cara melakukan khatam al-Quran,
tarhim yang dibaca menjelang Subuh, taslim yang dibaca bulan Ramadan ketika akan
melakukan sembahyang terawih. Selain itu terdapat beberapa amalan lainnya
seperti ayat lima, selawat Syeikh Ahmad al-Badawi. Cetakan yang pertama
Al-Ahmadiah Press, Singapura, 1379 Hijrah.
Penutup
Demikianlah
riwayat Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani, yang meninggal
dunia di Singapura pada tahun 1967 Masihi. Pada hari beliau meninggal dunia
secara kebetulan saya berada di Singapura, dapat menyaksikan bahawa sangat ramai
orang yang hadir menziarahinya, sama ada jenazah masih di rumah mahu pun hingga
menghantar ke perkuburannya.
Sebagai penutup artikel ini penulis
berpendapat bahawa: ``Ulama perlu dekat kepada pemerintah yang adil supaya
kebaikan dapat dikekalkan. Ulama perlu dekat kepada pemerintah yang zalim untuk
memberi nasihat terhadap mereka. Ulama perlu dekat kepada hartawan yang bertakwa
dan dermawan untuk memudahkan pembiayaan pendidikan dan dakwah Islam. Ulama
perlu dekat kepada orang miskin supaya timbul rasa belas kasihan. Ulama perlu
dekat kepada sesama ulama supaya dapat bermuzakarah dan menambah ilmu
pengetahuan. Ulama perlu dekat kepada orang yang jahil supaya dapat memberi
pendidikan Islam terhadap mereka. Mudah-mudahan kita tetap berpandangan bahawa
manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah insan Muslim, mukmin, ahlul
Makrifatullah yang bertakwa kepada Allah s.w.t., bukan lainnya. |
| |
|
| |
|
 |